mutakhir

Bomoh penipu [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Selepas hampir sembilan bulan memperdaya enam mangsa, seorang bomoh akhirnya ditahan polis, petang semalam.

Lelaki berusia 50 tahun yang juga pesara kerajaan itu ditahan kira-kira 5 petang di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kebun 500, Pokok Sena, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah berdasarkan maklumat dan risikan.

Beliau berkata, suspek dipercayai pulang ke kampungnya di Padang Sanai dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani.

"Bagaimanapun, dia berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

"Suspek dipercayai terbabit menipu enam individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya dan melarikan barang perhiasan emas dalam kes berasingan sejak Januari hingga September lalu," katanya di sini, hari ini.

Elias berkata, polis menerima enam laporan terhadap suspek berhubung kejadian itu, dengan lima daripadanya pada 25 Oktober lalu dan satu laporan lagi pada 31 Oktober lalu.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdaya mangsa adalah sama iaitu menipu kononnya mereka mengalami gangguan dan barang perhiasan emas akan mendatangkan mudarat.

"Suspek kemudian meminta barang perhiasan emas mangsa dan membalut dengan kain putih serta diletakkan dalam bilik mangsa dan tidak membenarkan sesiapa membuka ikatan kain berkenaan.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Elias berkata, kesemua enam mangsa dipercayai berusia antara 32 hingga 60 tahun yang menetap di sekitar Padang Terap.

Berikutan itu, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Nerang, hari ini, untuk mendapatkan perintah reman.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun kemudian membenarkan perintah reman empat hari terhadap suspek untuk membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita kerugian RM45,000 selepas ditipu bomoh dengan menyerahkan barang perhiasan emas kepada suspek kononnya untuk tujuan perubatan.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani berusia 44 tahun itu sudah berkahwin dan menetap di Padang Sanai, Kuala Nerang membuat laporan polis selepas menyedari dia ditipu.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 10:20am
d