mutakhir

Polis buru pemandu MPV lawan arus [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Polis memburu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sekitar Hentian Rehat Senawang yang videonya tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, video berdurasi 36 saat itu tular sejak 5 petang menunjukkan MPV berwarna merah memandu melawan arus di Kilometer (KM) 248 ke KM 240 menghala utara.

"Ia juga didapati bergerak di lorong kecemasan sebelum memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi dan menghala ke selatan.

"Siasatan awal mendapati pemilik kenderaan adalah wanita berusia 24 tahun beralamat di Kulai, Johor. Namun belum dapat dipastikan pemandu ketika kejadian itu dan kita masih memburunya," katanya di sini, hari ini.

Mohd Said meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Syaifullah Othman di talian 019-6327732.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 2:18pm
d