mutakhir

Gelanggang laga ayam diserbu [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kira-kira 40 kaki judi termasuk dua wanita yang sedang leka berjudi laga ayam dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai dekat sini, bertempiaran lari ketika diserbu polis kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira 5 petang.

Seramai 23 suspek termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati ladang kelapa sawit itu sudah dijadikan sebagai markas perjudian laga ayam sejak sebulan lalu.

Menurutnya, risikan selama tujuh hari dilakukan bagi mengesan modus operandi markas laga ayam berkenaan sebelum serbuan dibuat.

"Judi laga ayam itu dianjurkan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan waktu operasi hanya pada hari Ahad sahaja.

"Markas perjudian itu terletak di tengah-tengah ladang sawit di Kangkar Pulau iaitu kira-kira satu kilometer (km) dari jalan utama.

"Kesemua suspek terdiri daripada 10 warga Indonesia, empat pemegang status penduduk tetap (PR), 11 lelaki warga tempatan dan dua wanita tempatan yang juga pasangan penganjur serta pembuat air.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 13 ekor ayam laga dianggarkan bernilai RM65,000, tiga kanvas khemah, sebuah tong gas, satu gelanggang ayam, lima buah kerusi plastik, sebuah meja, sebuah generator dan wang pertaruhan RM7,307.

"Nilai taruhan bagi laga ayam ini paling tinggi adalah RM500 dan harga seekor ayam laga yang digunakan dianggarkan boleh mencecah harga RM5,000 seekor," katanya ketika sidang media, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kesemua suspek direman selama 14 hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua suspek turut dikesan negatif dadah.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 44 ( 1) (b) Akta Binatang 1953," katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 2:44pm
d