mutakhir

Belanjawan 2021: Kerajaan diminta tidak pinggirkan belia

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan kemahiran kepada golongan belia di bawah usia 20 tahun menerusi Belanjawan 2021.

Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Fahami Ashrof Badaruddin berkata, golongan ini tidak mendapat bantuan yang disalurkan kerajaan hanya kepada mereka berusia 21 tahun ke atas.

Menurutnya, golongan belia lingkungan usia 18 hingga 20 tahun ini juga perlu mendapat bantuan agar tidak terus terpinggir ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

"Dalam Belanjawan 2021 ini, bantuan kepada golongan belia ini perlu ditambah baik kerana mereka memerlukan inisiatif tambahan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Bantuan yang ada kini dilihat hanya tertumpu untuk belia berusia 21 tahun ke atas dan ia wajar dikaji semula agar belia menerima manfaat secara keseluruhan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan bantuan sekali bayar (one-off) untuk belia yang mahu memulakan perniagaan.

Menurutnya, ini penting kerana ia bukan saja membuka peluang pekerjaan tetapi ia turut merangsang semula ekonomi domestik yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

"Belia digalakkan menjadi usahawan dan menjadikan media sosial sebagai platform perniagaan sekali gus boleh menjana pendapatan.

"Namun, masih ramai yang mempunyai kekangan modal untuk memulakan perniagaan dan inisiatif ekonomi perlu diperkenalkan bagi membantu golongan ini," katanya.

Fahami Ashrof berkata, perniagaan juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada sektor pekerjaan yang semakin suram berlakunya pembuangan pekerja dalam skala besar.

Katanya, peranan belia perlu terus dimantapkan dalam apa juga sektor kerana mereka adalah pencorak negara pasca Covid-19.

Mengikut pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] tahun lalu, definisi umur belia antara 15 hingga 30 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 3:48pm
    d