mutakhir

Jangan lambat atau gagal! - KM Sabah

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor hari ini memberi amaran keras kepada para pegawai di lapangan di semua daerah yang lambat atau gagal menyampaikan bantuan makanan yang sangat diperlukan kepada penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19.

Hajiji berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong untuk memantau proses penyerahan bantuan dengan teliti bagi memastikan bakul makanan disediakan kerajaan diberikan kepada setiap penerima di seluruh negeri pada waktunya.

"Saya akan mendapat perkembangan secara berkala bagi memastikan ia dilakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di sini, hari ini.

Mesyuarat itu membincangkan keadaan Covid-19 semasa di Sabah dan usaha untuk membendung penularan pandemik serta strategi, arahan dan cabaran yang dihadapi.

Turut hadir ke mesyuarat itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi serta ketua-ketua agensi dan jabatan kerajaan.

Semalam, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata sebanyak 125,847 bakul makanan sudah diedarkan kepada penduduk terjejas oleh Covid-19 di 27 daerah di Sabah.

Hajiji berkata sehingga kini, sebanyak 22 lokaliti di seluruh negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), walaupun keadaan ini tidak dapat dielakkan, kerajaan negeri memahami nasib banyak pihak dalam sektor perniagaan yang mengalami kerugian.

"Kami akan meneliti keadaan ini untuk meringankan perintah itu supaya perniagaan dapat dibuka semula," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji semua agensi keselamatan yang berjaya mengawal keselamatan di sempadan negeri tetapi turut mengingatkan bahawa langkah itu perlu diperketatkan lagi melalui Pasukan Petugas Op Benteng bagi memastikan tiada pencerobohan pendatang haram, yang akan memburukkan lagi pandemik ini.

Sambil memberi penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka, Hajiji berkata, secara keseluruhan, negara berjaya menguruskan Covid-19 dengan baik dan berharap kerjasama antara pihak berkuasa negeri dan persekutuan dalam menangani keadaan ini di Sabah, diteruskan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 5:57pm
    d