mutakhir

Denda RM10,000 upah Pati bekerja

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua lelaki termasuk seorang peniaga ayam masing-masing didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana menggaji dan membenarkan warga asing bekerja serta berada di premis mereka.

Tertuduh, Zulkurnain Hassan, 53, dan Yahya Mamat, 36, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas Zulkurnain dan Yahya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Zulkurnain didakwa mengambil seorang pekerja wanita warga Indonesia berusia 32 tahun tanpa permit sah bekerja di sebuah tempat menjual ayam proses.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 mengaku melakukan kesalahan itu di Pasar Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu pada jam 12 tengah hari, 23 September lalu.

Sementara itu, Yahya yang juga seorang kontraktor didakwa membenarkan dua imigran haram masing-masing warga Myanmar berusia 35 tahun dan Bangladesh berusia 34 tahun untuk masuk atau tinggal di sebuah tapak pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada jam 11.45 pagi, 6 Oktober lalu.

Yahya didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh di hukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu Noraznie Alias manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 3:33pm
d