mutakhir

Rahsia rumah berpagar

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Tiga lelaki warga tempatan ditahan di sebuah rumah yang menjadikan kawasan perumahan elit berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan sebagai tempat menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di Taman Pelindung, di sini, kelmarin.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 27 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati rumah terbabit dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti pengiklanan dan mempromosikan perjudian dalam talian.

Katanya, promosi perjudian terbabit dilakukan melalui Facebook, Telegram, WeChat, Michat dan Whatsapp dengan menggunakan komputer.

"Hasil serbuan itu, sembilan unit komputer dan 30 telefon bimbit yang digunakan untuk menjalankan kegiatan terbabit dirampas.

"Telefon bimbit dijadikan sebagai 'top-up point' iaitu memasukkan kredit melalui perbankan Internet.

"Tiga lelaki terbabit juga mempunyai tugas masing-masing yang berperanan mengendalikan komputer dan telefon bimbit dengan dibayar gaji RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati sindiket itu aktif sejak dua bulan lalu yang beroperasi mengikut syif setiap hari dalam tempoh 24 jam.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga lelaki terbabit positif dadah.

"Modus operandi sindiket ini ialah menjalankan aktiviti perjudian di kawasan kediaman yang sunyi dan tersorok dengan memilih rumah di hujung jalan di dalam kawasan perumahan elit yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan.

"Difahamkan, sindiket terbabit menyewa rumah ini sebanyak RM4,000 bulan dan purata pendapatan harian aktiviti perjudian antara RM4,000 hingga RM7,000 sehari.

"Semua suspek kini direman sehingga 6 November ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 4(1)(g) ARJT 1953.

"Sepanjang tahun ini, sebanyak lima premis sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 21A ARJT 1953 kerana terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

"Tindakan pemotongan itu untuk memastikan premis yang diserbu tidak beroperasi sebagai premis perjudian," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 4:49pm
d