mutakhir

3 lelaki kurung pekerja kedai runcit, minta wang tebusan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tindakan tiga lelaki warga Bangladesh mengurung seorang pekerja kedai runcit untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM30,000 mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang memaklumkan rakannya dikurung sekumpulan lelaki dari negara sama serta meminta wang tebusan RM30,000, pada 4.04 petang, semalam.

Bertindak atas maklumat itu, beliau berkata, sepasukan anggota polis membuat dua serbuan berasingan di Jalan Tropicana Selatan dan Mutiara Damansara antara 4.30 petang hingga malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 33 hingga 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Kami turut menyelamatkan seorang lelaki Bangladesh yang dilaporkan dikurung rakannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja kedai runcit milik seorang suspek yang sudah lama tidak membayar gaji lelaki berkenaan.

"Menurut mangsa, suspek menuduhnya mengambil wang di dalam kedai itu. Suspek dikatakan bersekongkol dengan rakannya untuk menculik dan mengugut mangsa bagi mendapatkan wang berjumlah RM30,000 jika mahu dibebaskan.

"Semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323, Seksyen 324 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 5:04pm
d