mutakhir

Jangan halang orang ramai masuk kedai

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Tindakan sesetengah pemilik premis perniagaan yang menghalang penduduk Ketengah Jaya, Dungun memasuki premis mereka kerana terdapat kes positif Covid-19 di kawasan itu adalah satu bentuk pemulaan diskriminasi yang tidak sepatutnya berlaku, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

"Hentikan diskriminasi. Ini bukan kaedah untuk mencapai kemenangan dalam melawan Covid-19, tetapi tindakan ini bakal merosakkan keharmonian sebuah masyarakat," katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.

"Kes positif Covid-19 di Ketengah Jaya bukan bertebar di seluruh mukim Rasau seperti anggapan masyarakat. Setakat ini, ia hanya tertumpu kepada lokaliti tertentu sahaja. Oleh itu, tiada sebab yang jelas kenapa warga Ketengah Jaya atau Rasau tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan tertentu," tambahnya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai luahan beberapa penduduk Ketengah Jaya yang dilarang memasuki restoran dan premis-premis lain dengan alasan pemilik premis mahu mencegah penularan Covid-19.

Dr Nor Azimi berkata, apabila pesakit Covid-19 dikesan, mereka akan diasingkan serta dibuat saringan sebelum dimasukkan di kuarantin selama 14 hari atau hospital untuk mendapat rawatan.

"Justeru itu, risiko penularan penyakit Covid-19 oleh kes-kes positif ataupun kontak rapat tadi kepada komuniti sangat rendah disebabkan mereka semua sudah diasingkan daripada komuniti kecuali penularan berlaku sebelum mereka diasingkan atau ada kes yang masih belum dikesan," katanya.

Ketengah Jaya terletak dalam mukim Rasau yang mempunyai jumlah penduduk seramai 31,000 orang dan setakat ini, 22 kes positif Covid-19 dikesan di Ketengah Jaya.

Dr Nor Azimi berkata, risiko penularan adalah rendah dan berserta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, mengehadkan pergerakan dan sentiasa cuci tangan akan dapat membantu mengurangkan risiko seseorang daripada mendapat jangkitan Covid-19.

"Tindakan pemilik premis terhadap warga Ketengah Jaya ini menunjukkan ketakutan yang agak keterlaluan dan ia membuktikan bahawa masyarakat masih belum faham tentang risiko jangkitan seperti yang sering kita maklumkan sebelum ini.

"Sepatutnya pemilik premis melakukan saringan suhu dan menggunakan aplikasi MySejahtera. Ia mesti dipantau oleh petugas premis dan bukan hanya dibiarkan sahaja.

"Cecair pencuci tangan pembasmi kuman mesti disediakan secukupnya. Ini yang sepatutnya dilakukan pemilik premis, bukannya tindakan melulu dengan menghalang kemasukan hanya disebabkan mereka dari kawasan Ketengah Jaya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 5:47pm
    d