mutakhir

Pekerja Bangladesh terkandas, tak boleh masuk Malaysia [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan mengekalkan polisi sedia ada untuk menyekat kemasukan mana-mana warga asing termasuk rakyat Bangladesh ke negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak membenarkan kemasukan warga asing terutama dari 23 negara berisiko bagi mengelak penularan Covid-19.

"Suka saya jelaskan polisi kita untuk tutup sempadan negara kepada warga asing masih kekal tiada perubahan.

"Seperti kita tahu Bangladesh salah satu daripada 23 negara yang kita perketatkan kemasukan mereka kerana tergolong berisiko tinggi pandemik (Covid-19) di negara mereka," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan mengenai jaminan Kementerian Luar Bangladesh untuk mengadakan perbincangan berkaitan ribuan rakyat Bangladesh yang terkandas tidak dapat pulang bekerja ke Malaysia akibat penutupan sempadan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menyekat ruang perbincangan mengenai perkara itu, namun setakat ini keputusan masih kekal untuk menyekat mana-mana warga asing masuk ke negara ini.

"Walaupun ramai yang ingin balik ke Malaysia tetapi setakat ini (kita masih) tak benarkan.

"Bagaimanapun kuasa menentukan kemasukan dan sebagainya di bawah Jabatan Imigresen dan saya yakin jabatan itu belum lagi menukar polisi atau mencadangkan kerajaan menukar polisi untuk melonggarkan kemasukan ini.

"Saya (juga) tidak tahu sama ada kedutaan akan berjumpa dengan Kementerian Luar atau tidak untuk bincang perkara ini, tetapi setakat hari ini pekerja Bangladesh atau mana-mana negara berisiko tinggi masih tidak dibenarkan masuk Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 7:03pm
    d