mutakhir

Bayi cukup sifat ditemui dalam semak

Oleh Amir Mamat

Melaka: Seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui dalam keadaan dihurung semut di dalam semak di Jalan Sidang Hassan 1, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/ Operasi), Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.05 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, bayi itu ditemui masih mempunyai kesan darah di tubuhnya oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan sebelum mencari arah bunyi berkenaan.

"Ketika itu saksi dikatakan sedang berehat di rumahnya sebelum terdengar tangisan bayi.

"Dia ke arah semak terletak tidak jauh dari rumahnya dan menemui bayi terbabit dihurung semut serta terdapat kesan darah," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen ditemui bersama bayi berkenaan dan seterusnya dibawa ke Hospital Melaka dan ditempatkan di wad kanak- kanak.

Menurutnya, bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan diberi bantuan pernafasan kerana mengalami masalah jangkitan serta pernafasan laju.

"Menurut laporan doktor, bayi lelaki itu adalah baru lahir dengan berat badannya kira-kira 2.2 kilogram dan dipercayai lahir cukup bulan.

"Sehubungan itu, usaha mengesan ibu kepada bayi itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 10:08pm
d