mutakhir

Dua penyamun kecundang tak sampai 12 jam diburu

Oleh Togi Marzuki

Pontian: Dua penyamun ditahan dalam tempoh kurang 12 jam selepas menyamun dua warga Indonesia di Sungai Moleh, Pekan Nanas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, dalam pada 2.15 petang itu, dua penjaga kebun buah-buahan disamun dua warga tempatan berusia 32 dan 34 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diikat pada sebatang pokok dan suspek melarikan dua telefon bimbit, pisau lipat serta wang tunai.

:Bagaimanapun beberapa jam kemudian, dua mangsa berkenaan dapat melepaskan ikatannya dan membuat laporan di Balai Pekan Nanas.

"Berikutan itu, pada 5 petang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dan anggota Balai Polis Pekan Nanas melancarkan Ops Sepadu.

"Hasilnya dalam masa tempoh kurang 12 jam dua suspek diberkas di Jalan Pintu Air Sungai Moleh, Kampung Sungai Burung," katanya.

Mustafa berkata, dua suspek terbabit berasal dari Pontian dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau sebelum polis merampas semua barang disamun daripada dua mangsa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada suspek berusia 34 tahun, didapati beg sandang hitam dipakainya berisi satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin anggaran seberat 114 gram (g) satu peket pil warna hijau disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak 295 biji (154.5g) dan satu peket pil warna merah dipercayai ekstasi sebanyak 450 biji seberat 253g.

Menurutnya, pemeriksaan pada suspek kedua berusia 32 tahun pula mendapati beg silang dipakainya mengandungi satu batang dibalut plastik lutsinar mengandungi daun mampat dipercayai ganja seberat 39.9g, dua peket plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 44.4g, satu plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 19g dan satu plastik disyaki jenis ketamin seberat 1.6g.

"Anggaran kasar semua dadah dirampas bernilai RM22,979.00 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Selain itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan tanpa senjata api dan kini direman tujuh hari," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 10:43pm
d