mutakhir

Wanita keluar dari rumah ditemui lemas

Oleh Ahmad Ismail.

Segamat: Seorang wanita ditemui lemas selepas terjatuh berhampiran jambatan di Sungai Genuang, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 55 tahun itu dipercayai tergelincir dari tebing sungai dan bersendirian ketika kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Putra, Segamat, Abu Bakar Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.22 tengah hari.

"Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi dan melancarkan gerakan mencari mangsa sebelum mayatnya dijumpai terapung tidak jauh dari tempat kejadian.

"Anggota hanya mengambil masa 20 minit sebelum menemui mayat mangsa iaitu pada 1.45 tengah hari sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Waris mangsa yang enggan dikenali berkata, wanita itu sudah berkeluarga, namun tidak mempunyai anak.

"Dia keluar dari kediaman pada 10 pagi semalam dengan memandu kereta sebelum keluarga membuat satu laporan polis mengenai kehilangannya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 11:43pm
d