mutakhir

Hilang 3 hari sebelum ditemui maut

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Kehilangan seorang buruh sejak Isnin lalu, akhirnya terjawab apabila jasadnya yang sudah tidak bernyawa ditemui terdampar oleh orang awan di dalam parit di Jalan Kampung Simpol, Tok Uban, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi, berkata dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Ismail Ab Ghani, 26, ditemui di permukaan parit bersama motosikal jenis Honda C70 berwarna silver yang turut ditenggelami air.

"Hasil siasatan awal, mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Chat, Tok Uban, di sini, keluar seorang diri ke kedai berdekatan untuk membeli rokok pada Isnin lalu sekitar 7 malam.

"Bagaimana pun, menurut keluarganya, mangsa tidak pulang ke rumah, malah telefon miliknya juga gagal dihubungi sehinggalah dikhabarkan tentang penemuan jasad pemuda terbabit petang semalam.

"Pihak kami menerima laporan dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawanya ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Roy berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa sudah meninggal dunia selama dua hari kerana berada di dalam air dalam tempoh yang lama dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan kejadian ini tiada unsur jenayah selain mangsa juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Bagaimana pun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 8:27am
d