mutakhir

Bendung rasuah tanggungjawab bersama

Oleh Nurmastura Zulkafli

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini mendatangkan banyak kemudaratan kepada ekonomi dan meninggalkan kesan domino yang boleh memberi impak kepada isu-isu sosial.

Ini mungkin membuka ruang dan peluang untuk aktiviti rasuah dan penipuan termasuk pengubahan wang haram yang boleh menjejaskan integriti serta merapuhkan ekonomi negara.

COVID-19 yang telah membunuh lebih sejuta penduduk dunia telah mengakibatkan sekatan ekonomi yang bukan sahaja memberi impak kepada kelangsungan ekonomi tetapi boleh menyumbang kepada pelbagai jenayah kolar putih.

Usaha untuk memastikan tiada penularan dalam kes-kes jenayah komersil adalah antara fokus utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia.

SPRM mengalu-alukan kolaborasi melalui perkongsian maklumat di antara mahkamah untuk meningkat dan memperkukuhkan koordinasi serta kerjasama di semua organisasi yang aktif di peringkat antarabangsa terutama di dalam dasar, advokasi dan operasi anti-rasuah.

Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM. - FOTO MITI

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki turut menyuarakan pendapatnya di mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Anti-Rasuah dan Ketelusan (ACTWG) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini.

Mesyuarat yang turut dihadiri pegawai-pegawai tertinggi ekonomi-ekonomi APEC juga membincangkan usaha dan inisiatif pencegahan rasuah di rantau Asia Pasifik.

ACTWG harus memastikan langkah-langkah pencegahan rasuah dan mekanisme akauntabiliti menjadi alat utama memastikan pengendalian bantuan kemanusiaan dan dana baikpulih digunakan dengan efektif dan mencapai objektif sebenar.

Malaysia komited di dalam mematuhi prinsip-prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Rasuah (UNCAC) dan sedia bekerjasama di dalam pelaksanaannya.

Pihak berkuasa Malaysia sentiasa bekerjasama dengan pelbagai organisasi dan rangkaian yang berbeza, antaranya Financial Asia Task Force (FATF), Asia-Pacific Group on Money-Laundering (APG), Interpol, Aseanapol dan Egmont Group of Financial Intelligence Unit.

Penubuhan Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) oleh ACTWG pada tahun 2013 adalah satu keperluan usahasama menentang rasuah transnasional dan mempertimbang untuk meningkatkan kerjasama dan koordinasi rentas sempadan antara negara anggota ekonomi APEC di rantau ini.

ACT-NET berfungsi sebagai platform yang baik bagi semua ekonomi untuk mempunyai hubungan dua hala serta kerjasama dalam kes rasuah, pengubahan wang dan perdagangan haram sejak penubuhannya. 

"Oleh kerana rasuah menjadi rumit dan transnasional, memerangi rasuah dan pengubahan wang haram tidak dapat dicapai hanya oleh institusi atau negara mana pun secara bersendirian," katanya.

Tuntutan untuk bekerjasama dan meningkatkan kolaborasi serta koordinasi rentas sempadan yang lebih besar dalam memerangi rasuah, rasuah dan pengubahan wang haram semakin ketara. 

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 2:18pm
d