mutakhir

Musibah banjir ketiga tahun ini... [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Hulu Langat: "Melihat keadaan rumah berlumpur dan banyak barang rosak perlu dialihkan, saya rasa mungkin mengambil masa lebih seminggu untuk mengemas rumah sepenuhnya," kata Norshila Zulkamal, 50, penduduk Kampung Sungai Serai, di sini, yang dilanda banjir, semalam.

Norshila yang juga suri rumah berkata, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting kerana air naik secara mendadak hingga mencecah lebih satu meter di dalam rumahnya yang terletak kurang dua kilometer dari Sungai Langat.

"Air mula naik sejak 6 pagi sebelum naik secara mendadak bermula 10 pagi. Air semakin tinggi menyebabkan kami sekeluarga terpaksa meredah air pada paras pinggang untuk ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Serai.

"Banyak barang termasuk barangan elektrik, perabot dan kenderaan rosak kerana ditenggelamo air. Saya tidak menyangka air naik tinggi sehingga mencecah lebih satu meter.

"Kali terakhir banjir seteruk ini pada 2012 apabila air naik hingga ke paras bumbung rumah ini ketika itu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Katanya, dia sekeluarga sudah lali dengan kejadian banjir di kawasan berkenaan yang melanda antara dua hingga tiga kali setahun.

"Berdasarkan pengamatan saya sepanjang tinggal di kampung ini sejak kecil, kawasan ini pasti dilanda banjir setiap kali hujan lebat lebih dua jam..

"Kejadian (banjir) semalam adalah kali ketiga berlaku pada tahun ini dengan kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri iaitu dua hari berturut-turut," katanya.

Pemilik kedai makan di Kampung Sungai Serai, Afiq Azmi, 32, berkata dia hanya sempat berniaga beberapa jam, semalam sebelum premis itu ditenggelami air sehingga paras dada.

"Saya membuka kedai pada 6.30 pagi, semalam dan sudah menyedari air mula naik di jalan utama, namun meneruskan perniagaan seperti biasa kerana tidak menyangka air akan naik lebih tinggi.

"Sehingga 9.30 pagi, saya masih berniaga seperti biasa dengan keadaan air di bawah paras lutut sebelum terpaksa menutup kedai pada 10 pagi apabila air semakin naik," katanya.

Katanya, banyak barang di kedai miliknya seperti pinggan mangkuk serta kerusi dan meja ditenggelami air selain ada di antara barang mentah untuk jualan turut dihanyutkan air.

"Sudah tiada tempat untuk saya meletakkan barang berkenaan memandangkan air naik dengan mendadak dan tinggi.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka air naik tinggi seperti semalam menyebabkan barang yang diletakkan di tempat tinggi juga rosak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai Ab Samad @ Sam Ab Aziz, 60, berkata lebih 30 individu yang terdiri daripada ahli jawatankuasa (AJK) masjid, penduduk kampung serta sukarelawan membantu membersihkan masjid berkenaan, malam tadi.

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan sebaik saja air surut sepenuhnya kira-kira 8 malam tadi.

"Ada banyak barang yang rosak seperti perabot, karpet, dokumen dan lain-lain memandangkan masjid ini tenggelam sepenuhnya," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan lebih 400 rumah di 10 kampung di daerah Hulu Langat dilanda banjir akibat hujan lebat awal pagi semalam.S

Ia membabitkan Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.

Akibat itu, hampir 400 penduduk terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 2:42pm
d