mutakhir

SAINS agih air di Seremban, Port Dickson

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mula membekalkan air terawat menerusi lori tangki kepada penduduk yang terbabit dengan gangguan bekalan air di daerah ini dan Port Dickson.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, bekalan air itu akan dibekalkan sepanjang tempoh gangguan sehingga kerja menambak tebing runtuh di Sungai Linggi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selesai.

Beliau berkata, pihaknya mengaturkan pergerakan 11 lori tangki milik SAINS ke kawasan gangguan dan menempatkan 44 tangki statik bagi tempoh gangguan berkenaan.

"Selaras dengan memorandum persefahaman antara operator di bawah penyelarasan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), operator air di negeri lain turut membantu penghantaran lori tangki untuk bersama-sama membuat pengagihan bekalan air di kawasan gangguan.

"Sikap tanggungjawab dan kerjasama inilah yang terus dipegang oleh semua operator air dan sehingga hari ini, sebanyak 17 buah lori tangki dari operator terbabit.

"Ia membabitkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Ranhill SAJ Sdn Bhd (RanhillSAJ), Lembaga Air Perak (LAP), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Norzita berkata, sebanyak 45,067 akaun pengguna di kedua-dua daerah itu terbabit dengan gangguan bekalan air bermula hari ini.

Beliau berkata, runtuhan tebing Sungai Linggi ketika kejadian hujan lebat awal pagi semalam mengakibatkan gangguan kepada operasi LRA Sungai Linggi.

"JPS berusaha melaksanakan kerja baik pulih di tapak," katanya.

Kawasan yang terjejas di daerah Port Dickson ialah Golf & Country Club, PD Perdana, Desa Lagun Resort, Kem-kem Batu 5 Jalan Pantai, Selesa Beach Resort, Kem Batu 4 Jalan Pantai, Hotel Seri Malaysia, Hotel Avillion, Hotel Risda, Kilang Cabot, Hotel Corus, Hotel Sunshine Bay, Petron Refinery, Shell Refinery (Line 1&2), Pusat Hemodialisis Batu 1 Jalan Pantai, seluruh kawasan PD Water Front dan Pekan

Port Dickson.

Selain itu, TNB (Tuanku Jaafar), Hotel Leparis, Klinik Kesihatan (Hospital Lama), Seafront Hotel, Hotel Lexis, Glory Beach Resort, Hotel Grandpa Dataran Segar, seluruh kawasan Pekan Lukut sehingga seluruh kawasan Spring Hill dan Kualiti Alam & Jimah Power Plant juga terjejas.

Manakala di sebahagian kawasan Seremban pula membabitkan seluruh kawasan Rantau dan Senawang, Ulu Lalang, Kampung Solok, Kampung Sega Ulu, Sega Hilir, Jalan Kuala Sawah, Rumah Rakyat Nyatoh, Taman Rantau, Taman Pinggiran Senawang, Sekolah Datuk Abdul Razak, Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Hentian R&R Senawang, Senawang Perdana, Senawang Perdana Fasa 2 dan Batu 13 Jalan Tampin-Seremban.

SAINS memberikan maklumat terkini melalui laman portal rasmi www.sainswater.com atau di Facebook Pusat Khidmat Pelanggan.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 7:39pm
d