mutakhir

Doula Masyitah dibenar mula prosiding hina terhadap doktor

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Doula (pembantu kelahiran) Masyitah Md Hassan dibenar untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap seorang doktor yang diperintah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah wanita itu.

Fitnah berhubung insiden kelahiran bayi di rumah yang mengakibatkan kematian, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini selepas membenarkan permohonan Masyitah.

Peguam Nur Izzaida Zamani yang mewakili Masyitah ketika dihubungi berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan permohonan anak guamnya dengan kos sebanyak RM5,000 dalam prosiding pendengaran yang dikendalikan melalui aplikasi Skype.

Beliau berkata, notis permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan oleh Masyitah, 33, untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Sakinah Sulong, 44, yang didakwa sengaja atau enggan atau gagal mematuhi keputusan Evrol pada 26 Oktober lalu, yang memerintahkan doktor itu menerbitkan permohonan maaf tidak bersyarat secara terbuka di laman Facebook miliknya selama enam bulan berturut-turut, berhubung kes saman fitnah difailkan Masyitah terhadap Dr Sakinah.

Doktor itu dikehendaki menerbitkan permohonan maaf tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman dan tarikh akhir untuk defendan berbuat demikian adalah pada 2 November lalu.

Pada 26 Oktober lepas, Evrol membenarkan tuntutan saman fitnah Masyitah selaku plaintif, terhadap Dr Sakinah iaitu selain memerintahkan defendan menerbitkan permohonan maaf, doktor itu juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 berserta kos RM30,000 kepada plaintif.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah melarang Dr Sakinah daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama atau tuduhan salah terhadap Masyitah berhubung kematian bayi berkenaan secara langsung atau tidak langsung.

Dalam pada itu, Nur Izzaida berkata, Evrol hari ini turut membenarkan permohonan Masyitah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap doktor pakar, Prof Dr Imelda Balchin Nasruddin kerana tindakannya yang sengaja atau berpengetahuan menerbitkan dua kenyataan di bahagian komen dalam satu daripada hantaran di laman Facebook milik beliau (Dr Imelda) berhubung keputusan mahkamah dalam kes saman fitnah itu.

"Semua dokumen berhubung prosiding penghinaan akan diserahkan kepada semua pihak dengan sewajarnya," katanya menambah perbicaraan kes saman fitnah itu mengambil masa tiga hari bermula 9 Ogos lalu.

Dalam saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 10 Ogos 2018, Masyitah mendakwa Dr Sakinah secara salah dan berniat jahat memuat naik, menyiarkan, menyebarkan atau menerbitkan pernyataan yang memfitnah beliau di laman Facebook milik defendan pada 7, 8 dan 12 Feb 2018, apabila pernyataan pada 8 Februari itu telah mendapat lebih 5,000 suka daripada individu awam.

Menurut plaintif, pernyataan fitnah itu memberi maksud antaranya, bahawa beliau adalah seorang penipu, mempengaruhi ibu-ibu untuk meneruskan kelahiran dalam air di rumah dan bahawa plaintif telah membunuh atau menyebabkan kematian seorang bayi.

Masyitah berkata, pernyataan yang merujuk kepada beliau itu adalah palsu, tidak benar, tidak berasas dan telah diterbitkan dengan niat jahat serta telah menjejaskan reputasi dan nama baiknya dalam kalangan masyarakat umum.

"Kesan dan akibat daripada tindakan defendan menyebabkan saya menerima pelbagai komen, pesanan berbaur kebencian dan ugutan keras termasuk ugutan bunuh daripada pelbagai pihak termasuk individu tidak dikenali menerusi pelbagai medium termasuk laman media sosial dan pesanan teks ringkas," katanya.

Masyitah yang ketika itu sedang sarat mengandung mendakwa telah mengalami tekanan perasaan, jiwa dan mental serta mengalami kemurungan selepas bersalin serta mengalami gangguan emosi yang teruk akibat daripada komen serta pesanan yang diterima olehnya.

Plaintif menegaskan bahawa beliau pada setiap masa bukan seorang yang telah menjadi punca atau mengakibatkan kematian seorang bayi seperti didakwa oleh defendan dan tiada sebarang bukti atau keputusan mana-mana siasatan atau kes mahkamah yang telah mensabitkan beliau dengan kesalahan membunuh.

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaannya, Dr Sakinah yang merupakan doktor pakar perubatan keluarga menyatakan bahawa pernyataan yang diterbitkan di Facebook miliknya itu merupakan ulasan fakta, ekspresi pendapat dan merupakan komen berpatutan berdasarkan kepentingan awam.

Menurut defendan, komen beliau adalah susulan kejadian seorang bayi dilaporkan mati akibat sesak nafas setelah kepalanya tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang dan kelahiran bayi tersebut telah disambut sebahagiannya oleh suami pesakit tersebut manakala kepala bayi telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota perkhidmatan kesihatan serta tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.

Dr Sakinah berkata laporan polis dibuat plaintif bertarikh 8 Februari 2018 mengesahkan bahawa plaintif hadir dan terlibat dalam insiden kelahiran bayi pesakit dan mengesahkan bahawa plaintif telah secara aktif mengarahkan pesakit langkah-langkah yang perlu diambil ketika kelahiran bayi pesakit selain mengesahkan bahawa plaintif telah mengarahkan suami pesakit untuk memanggil ambulans hanya selepas kelahiran bayi.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 9:31pm
d