mutakhir

Lebuh raya sesak 8 km, 3 kenderaan kemalangan [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Beratus kenderaan terperangkap dalam kesesakan sejauh kira-kira lapan kilometer (km) di Lebuhraya Utara Selatan susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, pagi hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada 6.15 pagi berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara.

Menurutnya, ia membabitkan tiga kenderaan jenis Honda City, Toyota Vios dan treler Scania membawa minyak kelapa sawit.

"Kami menerima panggilan orang awam pada 7.07 pagi. Berdasarkan maklumat, kejadian berpunca daripada pemandu kereta jenis Honda City memotong secara mengejut sehingga merempuh pembahagi jalan.

"Tindakan itu menyebabkan pemandu treler hilang kawalan dan melanggar kereta Toyota Vios di hadapan.

"Treler itu kemudiannya hilang kawalan sehingga mengakibatkan bahagian belakang (ekor) lori terputus dan terbalik," katanya hari ini.

Mohd Syazwan berkata, kedua-dua pemandu kereta Honda City dan Toyota Vios berusia dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan berlaku tumpahan minyak kelapa sawit.

"Kami dengan kekuatan 10 anggota terpaksa membuat kerja penyekatan dan pembersihan tumpahan minyak sawit berkenaan, manakala anggota polis trafik membantu mengawal pergerakan kenderaan lain," katanya.

Sementara itu, pemandu treler, Halim Ahmad, 49, berkata, dia dalam perjalanan dari Tangkak, Johor ke Bandar Sirenia Salak Tinggi, Selangor.

Menurutnya, dia berada di laluan kiri dan secara tiba-tiba sebuah kereta Honda City cuba memotong sebelum ia hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

"Keadaan itu menyebabkan treler yang saya pandu gagal dikawal dan kemudian memasuki lorong tengah dan terus melanggar Toyota Vios di hadapan," katanya yang hanya mengalami kecederaan di kaki kanan.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 11:07am
d