mutakhir

Pegawai polis itu ada 'masalah'...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan video tular menunjukkan lelaki terbaring dalam keadaan tangan dan kaki berikat selepas didakwa cuba mencuri kereta di Kelana Jaya, di sini, adalah pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 23 tahun menerima panggilan telefon lalu diminta datang ke tempat dia meletak kereta di tepi jalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 1.30 tengah hari.

Katanya, sebaik tiba lelaki itu terus memeriksa keretanya dan mendapati pintu sebelah penumpang hadapan tidak berkunci kerana terdapat kerosakan dan perlu dikunci secara manual.

"Dia (lelaki itu) percaya terlupa untuk mengunci pintu sebelum meninggalkan kereta sebelum terlihat jaket miliknya berwarna biru gelap berada di atas jalan raya lebih kurang 10 meter dari tempat letak kereta.

"Pengadu juga melihat beberapa lelaki sedang berdiri di kawasan berhampiran dan terdapat seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta ditindih dengan sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah pegawai kanan polis berusia 39 tahun yang mempunyai masalah kesihatan iaitu tekanan perasan dan mendapat rawatan di sebuah hospital kerajaan.

"Ketika kejadian pegawai terbabit baharu sahaja keluar dari hospital dan diberi cuti sakit.

"Lelaki itu yang ditahan kemudian diberi jaminan polis dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, rentetan video tular itu, satu laporan polis dibuat oleh rakan pegawai polis terbabit sebelum individu yang memukul mangsa turut ditahan, Isnin lalu.

"Kedua-dua mereka berusia 33 dan 36 tahun disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan seorang lagi suspek yang bertanggungjawab merakam video itu sehingga tular," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 3:06pm
d