mutakhir

Berharap ada keajaiban

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: "Saya selalu berdoa supaya penderitaannya berakhir dan ada keajaiban berlaku," kata Aishah Mohd Saleh,31, ibu kepada Nor Rahil Raihan Mohd Syahrul, 2 yang menghidap penyakit hydrocephalus (lebihan cecair dalam otak), buah pinggang rosak serta pendarahan dalam perut.

Menurut Aishah, walaupun kehidupan keluarganya sering dihimpit masalah kewangan, dia dan suami, Mohd Shahrul Hassan, 35, tetap berusaha menyediakan segala keperluan dan rawatan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Saya bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang manakala suami (Mohd Shahrul Hassan, 35) bekerja sendiri tetapi kami tetap berusaha untuk mengubati penyakit anak.

"Walaupun amat merasai penderitaan yang dihadapinya, saya dan suami tetap berharap keajaiban berlaku," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Ilham dekat sini.

Katanya, sejak dilahirkan, hospital menjadi rumah kedua baginya dan apa sahaja perubatan yang dikatakan mampu mengubati penyakitnya akan diusahakannya.

"Namun hanya Allah yang menentukannya dan kepadaNya kami berserah semoga doa kami dimakbulkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrul berkata, mereka terpaksa membelanjakan hampir RM3,000 sebulan untuk keperluan Nor Rahil dan anak sulungnya Nor Iman Shah,11, yang menghidap penyakit sawan.

Katanya, untuk susu khas anak bongsunya sahaja, mereka memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan kerana satu tin berharga RM200 dengan hanya boleh bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja.

"Memang ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi apatah lagi kedua-dua anak saya ini memerlukan lampin antara dua hingga empat keping sehari setiap seorang," katanya.

Terdahulu Mohd Shahrul menerima sumbangan lampin pakai buang dan wang yang disumbangkan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad Nor Lingan.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Nor Rahil boleh berhubung terus dengan Aishah di 017-7836472 atau Mohd Shahrul 017-7279221.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 3:12pm
d