mutakhir

Kes Doula: Dr Sakinah Sulong rayu keputusan Mahkamah Tinggi

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang doktor kerajaan, Dr Sakinah Sulong merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya mengeluarkan permohonan maaf tidak bersyarat secara terbuka di laman sosial Facebook susulan kes membabitkan Doula (pembantu kelahiran) Masyitah Md Hassan.

Peguamnya, Mahmud Abdul Jumaat, berkata Notis Rayuan berkenaan difailkan Jumaat lalu, selepas anak guamnya itu tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang membenarkan tuntutan Masyitah itu.

Katanya, ia merujuk kepada penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 Oktober lalu, Dr Sakinah diarahkan mengeluarkan permohonan maaf tidak bersyarat secara terbuka di laman sosial Facebook miliknya selama enam bulan berturut-turut berhubung kes saman fitnah yang difailkan Masyitah terhadap Dr Sakinah.

"Penghakiman berkenaan memerintahkan Dr Sakinah menerbitkan permohonan maaf berkenaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman dan tarikh akhir untuk defendan berbuat demikian adalah pada Isnin lalu.

"Pada Jumaat lalu, saya bagi pihak Dr Sakinah memfailkan Notis Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

"Isnin lalu pula, saya mewakili Dr Sakinah memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan untuk memohon suatu perintah supaya pelaksanaan penghakiman mahkamah yang bertarikh 26 Oktober itu digantung sementara, pendengaran permohonan berkenaan dan penghakiman itu digantung sehingga pelupusan rayuan Dr Sakinah di Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap keseluruhan keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Peguam Nur Izzaida Zamani yang mewakili Masyitah dilaporkan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan permohonan anak guamnya dengan kos sebanyak RM5,000 dalam prosiding pendengaran yang dikendalikan melalui aplikasi Skype.

Beliau dilaporkan berkata, notis permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan oleh Masyitah, 33, untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Sakinah Sulong, 44, yang didakwa sengaja atau enggan atau gagal mematuhi keputusan Evrol pada 26 Oktober lalu, yang memerintahkan doktor itu menerbitkan permohonan maaf tidak bersyarat secara terbuka di laman Facebook miliknya selama enam bulan berturut-turut, berhubung kes saman fitnah difailkan Masyitah terhadap Dr Sakinah.

Doktor Sakinah dikehendaki menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman dan tarikh akhir untuk defendan berbuat demikian adalah pada 2 November lalu.

Pada 26 Oktober lalu, Evrol membenarkan tuntutan saman fitnah Masyitah selaku plaintif, terhadap Dr Sakinah iaitu selain memerintahkan defendan menerbitkan permohonan maaf, doktor itu juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 berserta kos RM30,000 kepada plaintif.

Mengulas lanjut, Mahmud berkata, perlu dijelaskan bahawa penghakiman bertarikh 26 Oktober itu adalah dalam bentuk perbuatan iaitu permohonan maaf yang merupakan "root of defamation case."

"Rayuan Dr Sakinah akan menjadi akademik memandangkan tindakan berkenaan tidak boleh ditarik balik dan reputasi dan nama baik Dr Sakinah akan terjejas sekiranya rayuannya dibenarkan kelak.

"Sehingga kini pihak Dr Sakinah tidak menerima sebarang kertas kuasa berhubung dengan prosiding menghina mahkamah," katanya.

Berita berkaitan

  • Doula Masyitah dibenar mula prosiding hina terhadap doktor
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 5:23pm
    d