mutakhir

KKM digesa pantau prosedur pembedahan kecantikan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian mengenai prosedur pembedahan kecantikan yang dilakukan di pusat kecantikan dengan mudah.

Malah tindakan tegas juga perlu diambil terhadap 'doktor tidak terlatih' yang menjalankan prosedur berkenaan terhadap pelanggannya.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, terdapat beberapa kes pembedahan kecantikan yang gagal di negara ini dan CAP sudah menerima pelbagai aduan itu sejak tahun 80-an.

Katanya, pada ketika ini terdapat garis panduan mengenai amalan perubatan estetik yang dibentuk KKM sejak 2013 iaitu hanya mempunyai kuasa bagi bertindak mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 dan Akta Perubatan 1971, jika membabitkan doktor tidak terlatih dalam pembedahan kosmetik.

"Undang-undang yang sudah lapuk itu dianggap tidak mencukupi bagi melindungi pengguna daripada diperdaya 'pakar bedah kosmetik' tidak bertauliah serta tidak melindungi pengguna.

"Sejak 2013, CAP menggesa KKM mengawal pembedahan kosmetik dengan ketat memandangkan tiada undang-undang secara langsung bagi menghalang mereka yang tidak bertauliah daripada melakukan pembedahan kosmetik atau prosedur bukan pembedahan.

"Ia termasuk mendakwa mereka atas tuduhan jenayah meskipun pesakit menemui maut atau mengalami kecacatan akibat kerja yang tidak cekap," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, pengguna sekarang begitu ghairah untuk kelihatan cantik, sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi menjalani pembedahan mencantikkan diri.

"Menurut Majlis Perubatan Malaysia, industri berbilion dolar itu berkembang 15 peratus setiap tahun.

"Ia bukan sahaja menarik perhatian 'doktor palsu' malah pengamal perubatan umum yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan bagi mengaut keuntungan dengan cepat," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 5:52pm
d