mutakhir

Rumah berkualiti, selesa untuk golongan berpendapatan rendah

Oleh Hayati Ibrahim dan Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM315 juta pula diperuntukkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Selain itu, RM125 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.

"Sebanyak RM310 juta pula untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM1.2 bilion disediakan kerajaan bagi tujuan itu untuk menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own.

Katanya, program ini akan dilaksanakan sehingga 2022 membabitkan 5,000 rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama.

Menurutnya, bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif.

"Pertama, pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500 ringgit.

"Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025," katanya.

Beliau berkata, kedua, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.

Katanya, pengecualian ini untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 6:00pm
    d