mutakhir

Kluster baharu Covid-19 dikesan di Kuala Kangsar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu Covid-19 di Sabah, Selangor dan Perak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu itu dikenal pasti sebagai Kluster Mampulut di Keningau, Sabah; Kluster Fores di Petaling, Gombak, Klang dan Kepong serta Kluster Rengas di Kuala Kangsar, Perak.

"Kluster Mampulut dikesan menerusi kes indeks ke-35,499 dan kes ke-32,154 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan 27 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari hari ini, 32 individu disaring termasuk 28 daripadanya dikesan positif manakala 181 individu dikesan negatif," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Fores pula disahkan berpunca daripada Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan pada 17 Oktober lalu.

Beliau berkata, sehingga hari ini, 190 individu disaring membabitkan 20 dikesan positif, 70 negatif dan 100 individu masih menunggu keputusan.

"Kluster ketiga dikesan adalah Kluster Rengas iaitu di Kuala Kangsar menerusi kes indeks ke-36427 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

"Setakat hari ini 290 individu disaring, sembilan kes dikesan positif dan 281 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:36pm
    d