mutakhir

Agih 500 pek makanan buat mahasiswa

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sebanyak 500 pek makanan disumbangkan kepada mahasiswa Universiti Malaya yang menjadi penerima pertama Program Membantu Frontliners yang dilancarkan minggu lalu.

Program inisiatif Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan dan Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu menyantuni mahasiswa untuk meringankan beban mereka.

Pengerusi YMM Shila Lama Abdullah berkata, untuk penyerahan kali pertama ini, Jawi mengagihkan pek makanan berkenaan yang ditaja penyumbang khusus untuk program berkenaan.

Katanya, sejak dilancarkan, projek yang memberi tumpuan untuk mencari dana bagi membeli Pakaian Perlindungan Diri (PPE) itu mendapat sambutan daripada masyarakat.

"Baru-baru ini kita ada penyumbang dan Jawi bersetuju mengagihkan makanan kepada mahasiswa di sini.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, wang daripada pembelian nasi ayam ini akan disumbangkan seratus peratus bagi membeli PPE untuk kegunaan petugas barisan depan di Sabah," katanya pada program penyerahan itu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah dan Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa universiti Malaya Muhammad Haziq Azfar Ishak.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, program berkenaan perlu disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat terutama bagi membantu petugas barisan depan mendapatkan PPE untuk melakukan tugasan.

Katanya, Jawi sebagai agensi yang akan membantu pengagihan menerusi Jawi Food Bank akan mengenalpasti golongan memerlukan untuk menerima pek makanan itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan badan bukan kerajaan mengambil inisiatif untuk menyumbang PPE kepada petugas hospital di Sabah menerusi jualan pek makanan yang disumbangkan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan.

Inisiatif itu diambil bagi membantu petugas di dalam menghadapi gelombang ketiga Covid-19 terutama di Sabah.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB 21444600067395 (Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:41pm
    d