mutakhir

'Ini tekad kerajaan' - Muhyiddin

Oleh Hayati Ibrahim

Kuala Lumpur: Pelbagai langkah yang digubal dalam Belanjawan 2021 bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat hari ini.

Malah, ia bagi membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, belanjawan ini juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat dan perniagaan, hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus.

"Kerajaan menggubal sebuah belanjawan yang berprinsip melindungi rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali, serta menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

"Kerajaan sedar yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing.

"Sehubungan itu, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi, dan ini jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 ini berbanding belanjawan yang pernah dibentangkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, ia juga akan meneruskan momentum yang sudah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Katanya, Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang di dokong teguh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali.

"Ini adalah tekad kerajaan dalam memastikan wabak Covid-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi," katanya.

Katanya, melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion disediakan kerajaan terutama bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

"Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion.

"Kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki.

"Justeru, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan beliau sendiri.

"Ia akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 ini mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

Katanya, golongan ini merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.

"Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

"Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan

pembiayaan tetapi menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

"Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing dan domestik," katanya.

Beliau berkata, usaha memastikan ketahanan ekonomi negara juga adalah antara fokus utama kerajaan dalam belanjawan kali ini.

Menurutnya, prinsip melindungi, melonjak kembali, serta menjamin juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi, dengan segala hasil kemakmuran negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:42pm
    d