mutakhir

Golongan B40 'terbela' hadapi pandemik Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan memberi pilihan kepada golongan B40 untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank mampu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, walaupun moratarium tidak diberi secara automatik kepada golongan B40, pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan dengan pihak bank sudah pasti dapat meringankan beban mereka.

"Penumpuan ketika ini adalah bagaimana mereka ini bersedia menghadapi cabaran pandemik Covid-19 yang agak lama dan tidak diketahui bila akan pulih.

"Selain itu, saya juga berpendapat ia boleh ditambah yang mana pada masa akan datang jika moratarium diperlukan secara automatik kerajaan boleh umum beberapa pakej rangsangan yang boleh memberi ruang kepada golongan B40 dan M40 untuk berbelanja," katanya ketika dihubungi.

Irwan berkata, pengumuman Bantuan Sara Hidup (BSH) akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Januari 2021 juga dapat membantu golongan ini dari segi kewangan mereka.

"Pemberian Program Baucar Perlindungan Tenang kepada golongan B40 juga inisiatif yang baik kerana kita tahu ketika ini ramai yang terkesan akibat Covid-19 dan ia akan memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas," katanya.

Kerajaan hari ini mengumumkan peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata itu adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, bantuan itu juga akan memanfaatkan kumpulan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

"Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan. Pilihan pertama, menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan, atau pilihan kedua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:55pm
    d