mutakhir

Konon import kain tenun, rupa-rupanya bawa masuk...

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Sebanyak 8,800,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM704,000 berjaya dirampas pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara, Isnin minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, kejayaan itu hasil tindakan

pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM bersama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka yang menahan sebuah kontena jam 12.55 tengah hari.

"Kontena berkenaan mengandungi rokok putih yang disyaki barang larangan dan dibawa ke Stor Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

"Rokok diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 880 'master case' bersamaan dengan 8,800,000 batang rokok dengan anggaran nilai rampasan RM704,000. Cukai bagi kesemua rokok itu dianggarkan sebanyak RM5,878,400," katanya tadi.

Johari berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran palsu mendakwa kontena itu berisi kain tenunan.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas kesalahan cubaan mengimport barang larangan serta Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

"JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 7:57pm
d