mutakhir

Harian Metro ungguli Anugerah Kewartawanan Kenyalang

Oleh Mohd Radzi Bujang

Kuching: Akhbar Harian Metro mengungguli Anugerah Kewartawanan Kenyalang selepas memenangi emas bagi kategori Anugerah Laporan Berita (Bahasa Melayu), malam ini.

Wartawan Ekhwan Haque Fazlul Haque memenangi kategori itu menerusi laporan bersiri 47 Rakyat Malaysia ditahan di Kemboja.

Laporan Januari tahun lalu itu mendedahkan kemelut dihadapi rakyat Malaysia yang majoritinya berasal dari Sarawak yang terkandas di Penjara Banteay Meanchey selepas ditipu sindiket mencari pekerjaan yang berpangkalan di negara ini dengan bekerja sebagai operator aktiviti perjudian.

Kerjasama antara Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Luar Negeri dan kerajaan Sarawak hasil rundingan dengan kerajaan Kemboja membolehkan semua rakyat Malaysia terbabit dibebaskan.

Pada majlis sama, bekas wartawan Berita Harian, Mohd Amirul Faiz Ahmad memenangi perak untuk kategori Laporan Berita (Bahasa Melayu) dan gangsa untuk kategori Laporan Berita Kelestarian (Bahasa Melayu).

Selain itu, bekas Eksekutif Jurufoto The New Straits Times Press (NSTP) Sarawak, Mohd Radzi Bujang memenangi gangsa bagi kategori Foto Esei.

Malam penghargaan tertinggi kewartawanan Sarawak itu dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 11:26pm
d