mutakhir

Anggota TUDM maut kemalangan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut digilis lori, selepas motosikal ditunggangnya terbabas, dalam satu kemalangan di Jalan Kuching di sini semalam.

Dalam kejadian pada 4.20 petang, mangsa Mohd Husaini Mohd Nasir, 28, dalam perjalanan ke tempat kerja di Subang dari Selayang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa melanggar lopak air di Jalan Kuching sebelum terbabas.

"Mangsa menunggang motosikal di lorong paling kiri dan terbabas ke lorong kanan.

"Mangsa kemudiannya digilis oleh sebuah lori yang hanya menyedari kejadian itu selepas terasa seperti melanggar sesuatu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pemandu lori berkenaan kemudiannya turun dari lori untuk memeriksa kenderaannya dan terlihat mangsa sudah tertiarap di atas jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 9:50am
d