mutakhir

Nak pinjam RM20,000, rugi RM33,760

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Hasrat seorang pekerja ladang untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000 bagi urusan peribadi musnah.

Sebaliknya, dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM33,760 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada 10 Oktober lalu.

Kejadian itu bermula apabila mangsa berusia 33 tahun melayari Facebook (FB) sebelum tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang lesen yang kononnya beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudiannya menghubungi ejen pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman yang ditawarkan.

"Selepas perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM20,000 pada akhir bulan lalu dan dimaklumkan pinjamannya akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

"Pada 1 November lalu, wakil daripada syarikat itu memaklumkan pinjaman yang dipohon mangsa diluluskan dengan bayaran balik secara ansuran bulanan sebanyak RM417 selama lima tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak syarikat pinjaman itu kemudiannya meminta mangsa membayar wang bagi tujuan yuran proses pinjaman dan urusan cukai pendapatan.

Menurutnya, mangsa membuat transaksi pertama di sebuah bank di Kuala Lipis sebanyak RM840 seperti diminta pada 2 November lalu.

"Mangsa sekali lagi dihubungi pihak syarikat itu meminta membayar lagi wang bagi tujuan memproses dokumen pinjaman dan mangsa membuat sebanyak 11 transaksi membabitkan wang RM32,920 dalam akaun yang diberikan," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihak syarikat berkenaan terus masih minta mangsa membayar wang bagi pelbagai proses pinjaman itu.

Katanya, mangsa mula berasa curiga kerana sudah membayar banyak wang tetapi pinjamannya masih belum diperolehi.

"Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Saya menasihatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan helah digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Rujuk dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelak menanggung kerugian," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 10:20am
d