mutakhir

Radar kesan bot seludup rokok

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 12,200 bungkus rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM152,288 di Blok 5, Kampung Titingan dekat sini, malam tadi.

Ia susulan maklumat menerusi radar yang berjaya mengesan pergerakan sebuah bot laju dari arah Pulau Sebatik menghala ke kawasan perairan Kampung Titingan pada 9.35 malam.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) bersama Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pasukan keselamatan kemudiannya terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan beberapa kotak yang disyaki rokok seludup dari sebuah bot ke kawasan lapang.

Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan sebelum berjaya meloloskan diri.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan sejumlah kotak besar yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama yang dipercayai tanpa kelulusan dan cukai Kastam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, rampasan berkenaan adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan oleh ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal April lalu.

Katanya, kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada OCP Daratan Sektor Selatan dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terbabit dalam operasi ini sehingga berjaya menggagalkan dan mematahkan penyeludupan ini," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 10:35am
d