mutakhir

Suami isteri berjaya tamatkan kayuh 1,000 km

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Alhamdulillah, saya bersama isteri berjaya menamatkan kayuhan sejauh 1,000 kilometer (km) ke Johor Bahru selama 12 hari," kata Amarudin Awang, 50.

Dia bersama isterinya, Aminah Daud, 51, kembali semula ke Gua Musang dengan selamat hari ini dengan diberi sambutan meriah daripada pelbagai pihak.

Pasangan anak tempatan bandar ini berlepas dari Bandar Utama di sini, pada 23 Oktober lalu dan melakukan kayuhan cabaran diri sejauh 1,000 km ke Johor Bahru.

Menurutnya, dia bersama isteri berjaya buktikan kemampuan mereka dan ketahanan fizikal menghadapi cabaran kayuhan itu hingga berjaya.

"Bagaimanapun, sepanjang kayuhan itu tidak ada halangan besar membantutkan perjalanan tetapi hanya berlaku sekali sahaja tayar basikal pancit.

"Ramai yang datang membantu untuk menukar tayar baharu sebelum saya menerus kayuhan," katanya ketika ditemui pada sambutan kejayaannya menamatkan kayuhan di sini, hari ini.

Antara yang menyambut pasangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff.

Turut hadir memberi sambutan adalah Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Kelantan Che Ibrahim Che Ismail selaku penaja cabaran kayuhan suami isteri itu.

Aminah pula berkata, walaupun pertama kali melakukan kayuhan jauh ke Johor Bahru itu, namun banyak pengalaman yang diperolehi.

Menurutnya, dia bukan sahaja boleh melawat negeri yang dilalui tetapi dapat menerima lebih ramai sahabat yang memberi sokongan terhadap usahanya.

"Di setiap negeri ada yang menyambut kami dengan penuh mesra," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 11:03am
d