mutakhir

Hampir dihanyutkan dalam banjir kilat

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: "Saya sedang menunggang motosikal untuk meninjau kawasan dinaiki air, tiba-tiba saya tidak dapat mengawalnya dan terjatuh serta hampir dihanyutkan," kata petugas rondaan FELDA Jengka 24, Alif Rosli.

Dia nasib baik kerana ketika kejadian beberapa orang anak peneroka yang berhampiran kawasan itu membantunya dan menyelamatkan motosikal daripada dihanyutkan.

Seorang lagi petugas rondaan, Nurul Nadiah Ahmad yang juga Ketua Majlis Belia FELDA Jengka 24 turut bersama Alif membuat rondaan dengan mengekorinya di belakang turut menghadapi situasi yang sama.

Menurut Nurul Nadiah, tidak sangka pula aliran air kali ini terlalu deras.

Katanya, kawasan itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat dan dia memang melakukan tinjauan bersama rakan setugas membuat rondaan dan pemeriksaan di kawasan serta rumah penduduk yang sering terjejas.

Beberapa kawasan di FELDA Jengka 24 dinaiki air kira kira 0.5 hingga satu meter di beberapa kawasan rendah apabila berikutan hujan lebat kira-kira tiga jam bermula 7 malam hingga 10 malam tadi.

Banjir kilat di kawasan tanah rancangan itu dipercayai berpunca daripada masalah saliran yang tidak diselenggara dengan baik.

Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan FELDA dan pihak berkaitan bagi tindakan susulan.

"Ini adalah kali keempat banjir kilat melanda kawasan FELDA Jengka 24 dalam masa tiga bulan.

"Biasanya kalau hujan lebat berterusan lebih dua jam, paras air di beberapa kawasan akan meningkat secara mendadak.

"Saya sempat meninjau kawasan terbabit sebaik dimaklumkan mengenai kejadian banjir kilat ini dan ia didapati berpunca daripada masalah pengairan atau saliran," katanya.

"Saya dimaklumkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS) sudah meluluskan kerja mendalamkan sungai berhampiran dan saya berharap kerja itu perlu disegerakan.

"Dalam masa yang sama, kita minta pihak berkaitan mempertimbangkan untuk membina jambatan mini di kawasan terbabit ," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 1:14pm
d