mutakhir

SPRM, NFCC sedia kerjasama bendung penyeludupan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan masalah rasuah, salah guna kuasa dan tadbir urus oleh pihak penguat kuasa adalah isu utama untuk membendung ketirisan hasil kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki berkata, ketirisan hasil kerajaan turut berlaku membabitkan kegiatan penyeludupan rokok.

Justeru, katanya, SPRM mengalu-alukan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021, semalam, untuk memperkasakan Pasukan Khas Pelbagai Agensi (MATF) bagi membendung aktiviti penyeludupan rokok di negara ini.

"SPRM bersedia membantu apa-apa juga kepakaran kami dalam usaha meningkatkan hasil negara dan mengurangkan ketirisan hasil kerajaan akibat rasuah serta salah guna kuasa.

"Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sudah lama menggunakan kaedah MATF ini dalam isu bendung penyeludupan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selain Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), beberapa agensi lain juga boleh dibawa bersama dalam pasukan khas itu seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Ini kerana penyeludupan kerap berlaku di perairan memandangkan faktor perairan negara yang amat luas," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, visi utama NFCC adalah membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan.

"Tentunya, kami menyambut baik pemerkasaan MATF dengan penyertaan NFCC dan SPRM seperti yang diumumkan Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2021 semalam.

"Ini juga adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan NFCC dan SPRM dalam membantu mengurangkan ketirisan hasil.

"Ia sekali gus dapat memastikan kerajaan dapat meningkatkan kutipan hasil dan memerangi jenayah kewangan dengan lebih cekap dan berkesan," katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam dilaporkan berkata, strategi kutipan hasil negara akan ditambah baik termasuk membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul dipetik berkata, MATF akan diperkasa dengan penyertaan SPRM dan NFCC.

Malah, beliau dilaporkan berkata, mulai 1 Januari tahun depan, kerajaan akan melaksanakan langkah seperti membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import dan menghadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja.

Isu rokok seludup turut disiarkan dalam laporan khas Harian Metro semalam bertajuk 'Kartel Makin Biadab' yang memetik tawaran lumayan kartel rokok seludup dikatakan menawarkan habuan tinggi sehingga RM110,000 kepada pegawai penguat kuasa korup untuk melepaskan satu kontena rokok seludup di pelabuhan negara.

Skuad Khas Harian Metro melaporkan, segelintir penguat kuasa tidak berintegriti menjadi 'duri dalam daging' dalam usaha kerajaan membanteras isu rokok seludup malah menyebabkan masalah ketirisan hasil hingga RM5 bilion setahun akibat penyeludupan rokok yang terus berlaku.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 2:05pm
    d