mutakhir

Belanjawan 2021 'batu loncatan' kepada usahawan wanita

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Peruntukan khusus kepada golongan wanita menerusi Belanjawan 2021 yang diumumkan semalam, menjadi 'batu loncatan' kepada usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan sekali gus membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menerusi peruntukan itu, kerajaan menyediakan RM50 juta bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang bertujuan memperkasa golongan wanita dalam bidang keusahawanan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan menzahirkan kesyukuran kerana buat pertama kali YaPEIM disebut dalam pembentangan Belanjawan 2021 menerusi peruntukan Ar Rahnu BizNita bagi memperkasa keusahawanan wanita melalui Program Mikro Kredit Ar Rahnu.

"Peruntukan itu akan digunakan sebaiknya oleh YaPEIM bagi membolehkan matlamat dan objektif program itu dilaksana dengan jayanya sekali gus mencapai sasaran diharapkan.

"YaPEIM berharap golongan wanita dapat mengambil peluang menerusi peruntukan itu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi diri dan keluarga dengan menjadikan emas sebagai medium simpanan yang stabil serta diyakini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara objektif Ar Rahnu BizNita adalah meningkatkan aksesibiliti wanita kepada pembiayaan di bawah Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai medium mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan terutama yang tidak mempunyai akses kepada pinjaman di institusi kewangan dengan menjadikan emas sebagai aset mudah cair.

Katanya, ia juga bertujuan menggalakkan wanita untuk menjadikan emas sebagai aset dan simpanan, menggalakkan keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan keluarga serta menyumbang dalam pembangunan sosioekonomi.

"Melalui sokongan dan dokongan diberikan kerajaan, YaPEIM yakin lebih ramai individu serta golongan sasar dapat dibantu bukan saja dalam meningkatkan taraf hidup mereka malah mampu menghasilkan modal insan berkualiti seperti yang dituntut dalam Islam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 2:51pm
    d