mutakhir

Tak sempat dialisis, Jamilah maut kereta bertembung

Oleh Amir Mamat

Melaka: Warga emas tidak sempat menjalani rawatan dialisis apabila maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan konkrit.

Dalam kejadian pada 6.10 pagi hari ini, Jamilah Md Jeni, 62, dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan rawatan rutin di pusat dialisis Taman Debunga, Merlimau di sini, sebelum terbabit dalam kemalangan di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Merlimau, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu ketika lori dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Muar, Johor menghala ke Melaka, manakala kereta Proton Saga dinaiki mangsa bersama anaknya berusia 21 tahun dari arah Semujuk ke Bandar Merlimau.

"Kemalangan berlaku apabila lori dan kereta dipandu anak mangsa dipercayai bertembung sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya.

Hasan Basri berkata, pemandu lori dan kereta terselamat selain kedua-dua kenderaan itu kini ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 3:26pm
d