mutakhir

'Own Syemko' akhirnya dicekup polis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Seorang lelaki dipercayai tokan dadah dikenali sebagai 'Own Syemko' yang bergiat aktif di kawasan Felda Sungai Tiang, di sini, akhirnya ditahan polis, semalam.

Lelaki berusia 20-an itu ditahan pada 5.30 petang di bangunan kosong bersebelahan Dewan Rozai Felda Sungai Tiang, di sini, susulan maklumat yang diterima polis.

Suspek berjaya dijejaki selepas namanya dipetik di laman Facebook Balai Polis Sungai Tiang, selain soal siasat beberapa penagih yang ditahan polis dalam operasi sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, suspek disyaki bergerak aktif menghantar bekalan dadah serta membuka 'sarang' dadah dalam kawasan kebun getah di sekitar kawasan Felda untuk penagih menghisap dadah.

Beliau berkata, suspek sudah lama diburu dan akhirnya berjaya ditahan berdasarkan maklumat awam yang diterima.

"Anggota polis dari Balai Polis Sungai Tiang berjaya menemui dadah yang disembunyikan dalam bekas plastik berwarna ungu dalam genggaman suspek.

"Hasil pemeriksaan pihaknya menemui enam peket plastik lut sinar dan satu keratan straw pendek yang di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan disyaki dadah heroin anggaran berat 3.48 gram," katanya di sini hari ini.

Arriz Sham berkata, selain itu, polis turut menahan seorang penagih dadah bersama suspek yang sedang leka menghisap dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 4:32pm
d