mutakhir

Lima pelajar ditahan pukul 'junior'

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Lima pelajar berusia 16 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan yang dilaporkan berlaku di sebuah asrama sekolah menengah di daerah ini pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, seorang bapa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang Khamis lalu mendakwa anaknya dibelasah beberapa pelajar senior di sekolah berasrama itu.

Katanya, pengadu mengetahui kejadian menimpa anaknya yang berusia 14 tahun itu selepas memeriksa telefon bimbit remaja itu.

"Mangsa dan seorang lagi rakannya dikatakan mengadu kepada rakan lain bahawa mereka dia dipukul pelajar senior.

"Kejadian dikatakan berlaku di asrama sekolah dan dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan pelajar senior berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Hang Seng, kedua-dua mangsa sudah mendapatkan rawatan namun diberikan amaran oleh pelajar senior berkenaan supaya tidak menceritakan kejadian kepada pihak sekolah.

"Susulan laporan yang dibuat bapa mangsa, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang menahan lima suspek kira-kira jam 2.45 petang ini untuk membantu siasatan," katanya.

Hang Seng berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kluang bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:29pm
d