mutakhir

Dulu kalung bunga, kini pelekat pula

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini wanita pelayan pelanggan (GRO) menggunakan kaedah kalungan bunga bagi menentukan nilai tips atau bayaran, kini mereka sudah beralih kepada penggunaan pelekat.

Pelbagai pelekat itu mempunyai nilai tersendiri antara RM100 hingga RM1,000.

Trend terbaharu itu bagaimanapun dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuat serbuan di pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi itu jam 8 malam.

"Ketika serbuan dijalankan, terdapat beberapa GRO dan lelaki warga asing cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang pentas dan berdekatan tandas, namun mereka berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 115 individu, kami menahan 27 individu terdiri daripada 18 wanita warga Vietnam, Thailand (3), Laos (1), Kemboja (1), Filipina (1) yang dipercayai bekerja sebagai GRO serta tiga lelaki lelaki warga Myanmar yang bekerja di premis itu.

"Seramai 80 pelanggan premis warga tempatan yang berhibur dan bermesra di pusat hiburan itu juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, JIM mendapati premis itu menggunakan pelekat sebagai 'token stickers' yang menjadi tren baharu menggantikan aktiviti 'kalungan bunga' daripada GRO untuk mendapatkan tips daripada pelanggan.

"Aktiviti itu sudah lama dijadikan sebagai satu persembahan istimewa di pusat hiburan berkenaan untuk menarik pelanggan sepanjang tempoh PKPB," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan, GRO berkenaan menerima tips antara RM500 hingga RM2,000 dalam masa sehari.

"Kebanyakan GRO memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari. Hasil pemeriksaan awal, kebanyakan mereka juga memasuki negara sebelum sekatan perjalanan keluar masuk negara dikenakan oleh kerajaan pada Mac lalu.

"Ada antara mereka juga menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan memegang pas isteri kepada warganegara tetapi bekerja sebagai GRO. Mereka juga tidak dapat membuktikan ada membuat pendaftaran dalam talian dengan JIM untuk pulang ke negara asal," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati pusat hiburan itu hanya mempunyai lesen perniagaan restoran dan kedai makan dan bukannya lesen hiburan atau kelab malam.

"Seorang lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki juruwang dan juga 'mummy' yang bertindak sebagai penyelia kepada wanita asing berkenaan.

"Pada awalnya wanita itu cuba untuk mengelirukan pasukan serbuan dengan berlagak sebagai pelanggan, namun helahnya terbongkar apabila dia cuba mengambil beg tangan yang berada di kaunter premis," katanya memberitahu, premis itu juga menggunakan tonto bagi mengawasi kehadiran pihak berkuasa.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 7:52pm
d