mutakhir

Cerminan Belanjawan prihatin - Lam Thye

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM322.5 bilion adalah cerminan belanjawan yang prihatin dan bertumpu pada rakyat yang memerlukannya dalam keadaan pandemik Covid 19 dan krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, belanjawan seperti itu diperlukan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, peniaga dan perniagaan kecil yang menghadapi masalah kewangan malah ia diperlukan bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan negara.

Menurutnya, insentif akan disambut baik dan dihargai oleh semua rakyat Malaysia terutamanya mereka yang dijangkiti wabak Covid-19.

"Dalam ucapannya, Menteri Kewangan mengungkapkan pelbagai insentif, keringanan beban dan bantuan yang tidak membabitkan kenaikan cukai dan seumpamanya.

"Insentif yang diperlukan oleh semua orang, untuk melindungi kehidupan dan mata pencarian mereka malah menjangkau golongan muda, tua, dan kumpulan B40 demi untuk membantu mereka mengatasi masa-masa yang mencabar ini," katanya.

Lam Thye berkata, komuniti perniagaan juga tidak dilupakan di mana antara cadangannya menambah pemotongan cukai untuk majikan yang mengupah warga emas dan insentif lain untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melayani orang tua.

"Potongan cukai, sehingga tahun 2025, untuk majikan yang mengambil pekerja bekas banduan dan bekas penagih dadah akan mendorong lebih banyak majikan untuk menggaji bekas banduan dan penagih berbanding pekerja asing.

"Pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk memerangi gelombang ketiga penularan, tetapi yang lebih penting lagi kerajaan memberi tumpuan kepada kesihatan awam," katanya.

Katanya, lebih banyak sumber untuk kesihatan awam yang belum diberi perhatian sewajarnya perlu disediakan dan perlu melabur lebih banyak dalam kesihatan awam yang akan memberikan pulangan dan dividen yang lebih banyak.

"Perkara yang dapat kita lakukan di hospital kita ketika pesakit dimasukkan adalah terhad walaupun dana juga harus disediakan untuk meningkatkan rawatan perubatan.

"Peruntukan keseluruhan sebanyak RM 31.9 bilion untuk Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan kesihatan untuk tahun depan tidak mencukupi memandangkan banyak tanggungjawab yang harus ditangani kementerian termasuk peningkatan dalam masalah kesihatan mental di negara ini," katanya.

Katanya, salah satu masalah utama yang harus ditangani oleh kerajaan adalah ketirisan dalam sistem.

"Setiap tahun, Ketua Audit Negara, dalam laporan tahunannya menyoroti masalah ketirisan itu di mana trend rasuah ini mesti dihapuskan sekarang. Semua jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan cadangan belanjawan mesti memastikan mereka melakukannya dengan penuh integriti.

"Semua jabatan dan agensi mesti meningkatkan komitmen integriti mereka untuk memerangi rasuah. Kita mesti mempunyai iltizam politik untuk mengatasinya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 10:59pm
    d