mutakhir

Warga Algeria cuba curi beg maut bergelut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Warga Algeria maut selepas bergelut dengan seorang lelaki dalam sebuah bas di Jalan Pangkor di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 4.52 petang.

"Berdasarkan keterangan awal pemandu bas berkenaan, dia menyedari berlaku pertengkaran antara seorang lelaki tempatan dengan mangsa hingga dia dipukul sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

"Susulan itu, kami menahan lelaki tempatan berusia 45 tahun itu.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati punca kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa yang cuba mencuri beg sandang milik suspek.

"Menyedari tindakan mangsa, lelaki terbabit menampar dan menendang kaki mangsa sekali menyebabkan mangsa rebah sejurus bas berhenti di Perhentian Bas Pekeliling," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan pada badan mangsa berusia 56 tahun itu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau lebam.

"Pemeriksaan pada pakaian mangsa juga menemui surat rawatan asma dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), salinan pasport dan inhaler.

"Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata, semakan awal mendapati mangsa memiliki satu rekod jenayah bersabit kes curi beg.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 14 November untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 1:08pm
d