mutakhir

Konstabel maut kemalangan: Pemandu, penumpang Myvi dipenjara, denda [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang pembantu kedai santan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Konstabel Nicholester Dadup Unggat, Ahad lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan berkenaan selepas Mohamad Syafiq Lokman, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohamad Syafiq juga hilang kelayakan mengambil lesen memandu sehingga lima tahun atas sabitan berkenaan dan jika gagal bayar denda berkenaan, dia turut diperintah menjalani 12 bulan penjara.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Syafiq didakwa memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Konstabel Nicholester Dadup, 20, di Jalan Kangkar Tebrau kira-kira jam 6 pagi pada 1 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ia adalah kes pertama sabitan hukuman lebih berat mengikut pindaan baharu seksyen berkenaan yang berkuat kuasa 23 Oktober lalu.

Mengikut pindaan baharu Seksyen 41 itu hukuman yang diperuntukkan adalah penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun, bagi sabitan pertama.

Mohamad Syafiq turut diperintah membayar denda RM1,800 dan jika gagal bayar, dipenjara tiga bulan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa yang sama, mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut seksyen berkenaan, hukuman diperuntukkan adalah denda maksimum RM2,000 atau dipenjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah berasingan, Mohamad Syafiq turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi secara berasingan dan denda RM5,000, atas kesalahan dengan sengaja menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dengan gagal memberhentikan kenderaan yang dipandunya ketika diarahkan polis di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Majistret Nurasidah Rahman turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan lagi secara berasingan dan menjalani perintah pengawasan selama dua tahun, atas kesalahan memasukkan dadah dalam badan, mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), kira-kira jam 11.30 malam 1 November lalu.

Mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman yang diperuntukkan adalah penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 serta tempoh pengawasan maksimum tiga tahun.

Terdahulu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh kedua, Siti Noor Ashikin Muhammad Arifin, 26, yang juga seorang ibu tunggal dipenjara lapan bulan dan didenda RM1,000.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Siti Noor Ashikin mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan kenderaan miliknya disewa teman lelakinya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Siti Noor Ashikin, juga diperintahkan supaya dipenjara lapan bulan dan perintah pengawasan dua tahun atas kesalahan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badan

Manakala, teman lelakinya, Muhamad Syahrihudin Abdul Majid, 24, yang juga tertuduh ketiga pula, didenda RM1,000 dan jika gagal bayar, tiga bulan penjara, atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

Seorang lagi rakan mereka yang turut berada dalam kereta Perodua Myvi ketika kemalangan maut itu Muhamad Aiman Romli, 24, yang juga tertuduh keempat pula dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, Konstabel Nicholester Dadup maut manakala rakan setugas mangsa yang juga pemandu kereta peronda polis (MPV), Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, cedera parah.

Sebelum kejadian, kedua-dua anggota terbabit dilaporkan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Perodua Myvi yang dinaiki penjenayah terbabit bergesel dengan kereta peronda dinaiki anggota dari Balai Polis Bandar Dato' Onn itu berkenaan sebelum ia terbalik dan dilanggar sebuah SUV Perodua Aruz dinaiki orang awam.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 3:45pm
d