mutakhir

Selesa tinggal di hutan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Menghuni dalam hutan lebih 30 tahun tidak menjadi faktor penghalang kepada seorang lelaki di Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, di sini, untuk meneruskan kelangsungan hidup meskipun kemiskinan menghimpitnya.

Berlindung dalam sebuah pondok yang dinding dan atapnya diperbuat daripada daun rumbia memberi ketenangan buat Abdul Wahab Abdullah, 60, untuk menjalani kehidupan seharian.

Abdul Wahab yang mesra dipanggil Jantan berkata, biarpun kehidupannya daif dan tinggal jauh di dalam hutan, namun dia tidak pernah menyesal.

Katanya, dia sebelum ini pernah menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, namun mengambil keputusan pulang ke kampung halaman atas urusan peribadi.

"Apabila pulang ke sini, saya bina sendiri pondok ini menggunakan kayu dan sumber yang sedia ada termasuk daun rumbia.

"Untuk mencari sesuap nasi, saya melakukan kerja kampung seperti menjual jala dan sagu di Parit 13, Sungai Panjang dan Pekan Bagan Terap setiap minggu," katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan bersama Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Sabak Bernam, Selamat Dalip, hari ini.

Abdul Wahab berkata, dia bersyukur dan hidup tenang tanpa bekalan elektrik dan air sejak tinggal di kawasan itu.

"Untuk memasak, saya menggunakan kayu api. Air pula saya ambil dari perigi berhampiran yang jaraknya kira-kira 200 meter dari rumah.

"Pada waktu malam, saya akan gunakan pelita minyak tanah untuk menerangi suasana di pondok," katanya.

Menurutnya, untuk membeli keperluan harian seperti beras dan lauk-pauk, dia perlu berbasikal sejauh tujuh kilometer ke Pekan Bagan Terap dari pondoknya.

"Saya makan sahaja apa yang ada di dapur setiap hari. Walaupun susah dan miskin, saya akan usahakan bagi meneruskan kehidupan dan tahu Allah akan beri rezeki sekiranya rajin berusaha," katanya.

Sementara itu, Selamat berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa Abdul Wahab.

Beliau berkata, pelbagai pihak ingin menghulurkan sumbangan termasuk membina rumah baharu buatnya.

"Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh baru-baru ini menziarahi lelaki itu dan menawarkan bantuan ekonomi melalui projek tanaman kelapa sawit.

"Malah, pelbagai agensi datang ke pondok lelaki itu bagi menghulurkan bantuan, namun ditolak secara baik. Dia mahu meneruskan kehidupannya yang sedia ada," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 4:30pm
d