mutakhir

Kaya hidup hasil 'kerja' curi tembaga [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel pencawang syarikat telekomunikasi (telco) di daerah ini akhirnya diberkas polis selepas bertindak agresif merempuh sekatan jalan raya diadakan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan ketika memecah masuk kawasan pencawang sebuah syarikat telekomunikasi di Ladang Changkat Salak, di sini, kira-kira jam 4.20 petang semalam.

Katanya, hasil maklumat juruteknik syarikat itu, sembilan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dibantu empat anggota Balai Polis Salak Bharu melakukan serbuan.

Beliau berkata, seorang anggota polis tercedera selepas suspek yang menunggang motosikal bertindak merempuh sekatan polis yang dibuat di jalan keluar masuk pencawang berkenaan.

"Suspek pada awalnya berjaya melepasi sekatan itu biarpun sudah diarahkan memberhentikan motosikal ditunggang.

"Bagaimanapun dia akhirnya berjaya ditahan selepas terbabas sendiri ke dalam parit di tepi jalan besar berdekatan jalan keluar.

"Anggota polis yang cedera itu dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan susulan kerana mengalami luka di siku kanan serta terseliuh pergelangan kaki kiri akibat dilanggar. Manakala suspek hanya mengalami calar di tubuhnya," katanya dalam sidang media di IPD Sungai Siput di sini, tadi.

Mohd Khaizam berkata, pemeriksaan terhadap motosikal yang ditunggang suspek menemui 98 batang kabel tembaga yang sudah dipotong.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek itu yang bekerja di kedai membeli barangan lusuh di luar daerah ini mempunyai 16 rekod lampau membabitkan dadah serta jenayah.

Difahamkan suspek dipercayai terbabit dalam sembilan kes mencuri kabel pencawang bernilai RM200,000 sebelum ini.

Terdahulu, Mohd Khaizam meninjau 16 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar padang permainan di perumahan Kampung Sungai Buloh, di sini, bagi mengatasi kes kecurian yang kerap berlaku di kawasan itu.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 5:24pm
d