mutakhir

Baby Aryan selamat jalani pembedahan hati

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, pembedahan yang kami tunggu-tunggu sudah pun selesai.

"Saya dimaklumkan doktor, isteri dan anak saya dalam keadaan baik. Terima kasih atas bantuan dan doa semua," kata Mohd Yuslin Affiq Mohd Yusof.

Bapa kepada Mohammad Faqish Aryan Mohamad Yuslin Affiq, 1, atau Baby Aryan yang menerima hati daripada ibunya sendiri itu berkata, dia bersyukur kerana pembedahan yang dijalankan pada Rabu lalu berjalan lancar.

Katanya, buat masa ini dia dan isteri, Fatin Nabilah Ab Aziz masih belum berpeluang melihat keadaan Aryan yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Katanya, doktor juga memaklumkan, isteri dan anaknya perlu menjalani rawatan susulan selama tiga bulan selepas pembedahan itu.

Harian Metro pada 18 Oktober lalu melaporkan, Fatin Nabilah sanggup mendermakan sebahagian kecil daripada hatinya kepada Baby Aryan sebagai jalan terakhir untuk melihat anaknya yang mengidap Biliary Atresia sejak kecil itu kembali sembuh.

Katanya, keputusan itu dibuat demi menyelamatkan anaknya itu agar dapat meneruskan kehidupan biasa seperti kanak-kanak lain.

Keluarga itu juga buntu mencari baki dana RM12,000 untuk menjalani pembedahan yang menelan kos keseluruhan RM120,000 itu.

Bagaimanapun, hasil bantuan pelbagai pihak, dana berkenaan berjaya dikumpulkan sebelum pembedahan dilakukan.

Mohd Yuslin berkata, sebagai bapa dia gembira dengan perkembangan terbaru itu dan berdoa supaya kedua-dua insan tersayang itu segera sembuh.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan anak saya.

"Tak tahu macam mana nak ucap, tetapi hanya Allah yang dapat membalasnya," katanya.

Berita berkaitan

'Ambillah hati ibu nak...'

Aku reda jika...

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 6:36pm
d