mutakhir

Ternak arnab daging boleh untung besar

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Saya akan membesarkan lagi projek ternakan arnab daging ini selepas menerima bantuan dijanjikan kerajaan" ujar usahawan muda, Mahamad Farizar Mahamad, 36.

Dia yang mengusahakan projek ternakan arnab daging dan hiasan sejak empat tahun lalu menyifatkan belanjawan 2021 rahmat buat golongan petani dan penternak.

Menurutnya, peruntukan besar itu bukti keprihatinan kerajaan pada golongan pengeluar makanan yang sentiasa mengharapkan sokongan dan pembelaan daripada agensi kerajaan berkaitan.

"Saya menanam impian untuk membesarkan lagi projek ternakan arnab daging dan hiasan bagi memenuhi permintaan pengguna di daerah ini termasuk di luar Pahang. Sambutan terhadap daging haiwan berkenaan begitu menggalakkan.

"Selain untuk hidangan pelbagai resipi, daging arnab menjadi pilihan makanan kucing bagi pemilik haiwan manja itu," katanya yang mengusahakan projek ternakan arnab di Kampung Seri Fajar, di sini.

Dia kini mempunyai lebih 400 haiwan berkenaan jenis daging dan hiasan yang diternak dalam sangkar khas diimport dari luar negara.

Mahamad Farizar berkata, permintaan daging arnab sentiasa bertambah menyebabkan dia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan luar Pahang malah setiap bulan ladang FM Agro Farm miliknya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 200 kilogram (kg) daging arnab.

"Saya mempunyai 200 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar serta berempah. Masing-masing memerlukan antara lima hingga 20 kg sebulan. Harga daging bertulang RM36 manakala RM47 sekilogram bagi daging tanpa tulang.

"Saya kini terpaksa mendapatkan bekalan daging segar daripada beberapa pembekal bagi memenuhi permintaan pengguna," katanya yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Mahamad Farizar berkata, selain menjual daging segar dia juga membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan dengan harga antara RM50 hingga RM100 seekor dan permintaan sangat menggalakkan.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 6:37pm
d