mutakhir

Kenaikan gaji EXCO, Adun Kelantan diluluskan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) saraan anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri pindaan 2020.

RUU itu dicadangkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai suatu enakmen dengan tiga kali bacaan.

Ketika membentangkan cadangan berkenaan, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor berkata, pindaan itu dikemukakan berikutan keadaan kini yang mencabar kepada anggota pentadbiran dan ADUN, selain sebagai satu pelarasan elaun antara negeri Kelantan dengan negeri lain.

"Selain itu, tugas anggota pentadbiran dan Adun kini semakin berat dan membawa harapan tinggi daripada rakyat terutama ketika berdepan wabak Covid-19.

"Oleh yang demikian, kerajaan mencadangkan pindaan dibuat terhadap RUU berkenaan.

"Adalah diharapkan dengan pindaan ini akan mendorong anggota pentadbiran dan ahli-ahli yang berhormat untuk bekerja lebih gigih dan membantu untuk berkhidmat kepada orang ramai pada tahap yang maksimun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Selepas pembentangan itu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob, memberi laluan untuk cadangan itu dibahaskan, namun tiada seorang pun wakil rakyat berbuat demikian sekali gus diluluskan sebulat suara.

Media sebelum ini melaporkan, EXCO kerajaan negeri dan Adun di Kelantan akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sekiranya RUU saraan anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri pindaan 2020 diluluskan.

Kenaikan itu dikatakan wajar memandangkan terdapat perbezaan gaji yang agak ketara dengan negeri lain.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 2:00pm
d