mutakhir

Mobilisasi penduduk antara punca peningkatan kes Covid-19

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Faktor mobilisasi dalam kawasan mempunyai kepadatan tinggi antara faktor kenaikan mendadak kes positif Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, trend peningkatan ini dilihat berlaku di kawasan berkenaan sehingga jumlah kes harian mencecah empat digit.

Menurutnya, kawasan zon merah memiliki mobilisasi masyarakat yang bekerja, penduduk padat selain adanya perhimpunan keagamaan dijalankan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menggerakkan usaha kesihatan awam bagi mengekang peningkatan jangkitan daripada berlaku.

"Disebabkan itu, KKM menyekat kemasukan masyarakat dari zon merah ke zon kuning dan sebaliknya kerana tidak mahu meningkatkan risiko jangkitan," katanya ketika ditemubual menerusi program Selamat Pagi Malaysia siaran RTM, pagi ini.

Dr Adham berkata, KKM kini sedang giat menjalankan pengesanan kes baharu termasuk kontak rapat kepada pesakit agar tindakan segera boleh diambil.

Katanya, pengurusan kesihatan awam yang efektif membolehkan angka jangkitan kini turun kepada tiga digit berbanding sebelum ini.

"Saya menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk melandaikan lekuk kes positif.

"Kita berjaya landaikan lekuk kes positif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diharap dapat menurunkan jumlah kes terutama di Sabah, Lembah Klang dan beberapa negeri lain," katanya.

Beliau berkata, sambutan Deepavali tidak lama lagi diharap disambut dalam suasana mematuhi SOP seperti dijalankan ketika perayaan lain sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 3:12pm
    d